Saturday, October 24, 2015

MENERJANG BADAI KEHIDUPAN



“Lepas ni hang p angkat pula satu lagi baja bawak mai sini, lepas tu balik umah”.
Kata abah seusai aku selesai mengangkat baja yang terakhir untuk ditabur pada sawah padi yang meluas di belakang rumah kami.

Abah seawal pagi sudah mengejutkan aku untuk bangun membantu beliau di sawah. Bukan mudah untuk anak muda semacam aku yang pada ketika itu berusia 14 tahun turun ke sawah mengangkat baja yang seberat 20 kg sepaket, sedangkan rakan-rakan yang lain rata-rata masih lagi dibuai enak mimpi di pagi hari. Sedangkan abah sendiri bertekun turun ke sawah dengan khudratnya semata-mata hendak membesarkan kami dalam keluarga yang serba kekurangan pada ketika itu.

Maklumlah pada ketika itu aku bersekolah menengah harian sesi petang dan setiap pagi rutin aku membantu ayah di sawah atau menyiram sayur dan jagung di belakang rumah. Emak pula sebelum subuh sudah bersekang mata mengadun tepung untuk dibuat kuih sepit. Hasil jualan kuih itu lah emak kumpul untuk belikan barang-barang dapur sebelum menunggu hasil tuaian padi abah.


Masih terngiang-ngiang di telinga aku kata-kata abah waktu aku membantu beliau pada suatu hari.

“Abah ni dulu mengaji tak pandai, tunggu hampa saja mengaji pulun, nanti bila hampa senang abah boleh tumpang senang”.

Kata-kata abah pada hari itu membuatkan aku sepanjang hari berfikir dan cuba untuk berubah. Ditambah pula perjalanan ke sekolah yang jaraknya hampir 15 km dengan menaiki Honda Bulat C70 memberi aku sedikit inspirasi untuk berfikir tentang masa depan. Abah juga selalu mengulangi bahawa dia dulu tidak sempat bersekolah tinggi disebabkan tangungjawab sebagai anak lelaki sulung yang perlu ditunaikan demi menyekolahkan adik-adiknya.

Aku faham benar sikap abah bila perasan aku pada ketika itu memberontak dan agak tidak ikhlas membantu, abah akan memberi kata ala-ala motivasi semata-mata hendak mententeramkan aku. Kata-kata abah dan motivasi yang diberikan itulah agaknya membuatkan aku hari-hari berfikir untuk menjadi seorang anak sawah yang tidak mengalah dan terus berusaha mencapai cita-cita.

(Kisah ringkas catatan kehidupan)


Menanam benih usaha, menuai hasil kejayaan



Memperoleh kejayaan dalam kehidupan merupakan suatu nikmat yang begitu berharga dalam kehidupan seseorang, namun mencapai kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah sudah tentu usaha demi usaha perlu dilakukan. Kata pepatah melayu “ manakan dapat sagunya kalau tidak dipecahkan ruyung” atau “ pipih tidak datang melayang dan bulat tidak datang bergolek”. 

Peribahasa ini sudah cukup memberi inspirasi kepada kita bahawa kejayaan itu perlu ada usaha, usaha pula perlu ada ketekunan dan disusuli dengan istiqomah. Tanpa usaha yang berterusan bukan mudah bagi seseorang untuk mencapai apa-apa yang dihajatinya dalam kehidupan.

Sebagai individu yang mentauhidkan Allah sebagai tuhan yang menciptakan alam ini, kita diajar bukan sahaja meraih kejayaan semata-mata di dunia bahkan kejayaan hakiki yang perlu kita rebut adalah kejayaan di akhirat. Ramai kalangan manusia sering kali terlupa bahawa hakikat dunia ini adalah sementara dan akhirat itu adalah selama-lamanya. Berkaitan dengan kejayaan Allah berfirman dalam surah al-Mukminun:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya”.

Bagaimana dalam ayat yang pendek ini Allah menjelaskan kepada kita yang berjaya itu adalah orang beriman yang khusyuk di dalam solat mereka. Kalau dilihat dari sudut khusyuk itu sendiri menurut Imam Zamakhsyari di dalam kitabnya al-Kasysyaf menyebut khusuk dalam solat ialah hati berkeadaan takut dan mata selalu tunduk (ke tempat sujud). Pengertian ini sudah cukup menimbulkan persoalan pada diri kita bahawa begitu susahnya untuk kita mencapai khusyuk di dalam solat. Sudah tentu hendak mencapai kepada khusyuk ini pun memerlukan kepada usaha yang kuat dari diri kita.

Bagaimana pula ulama memberi panduan dan beberapa tips untuk kita mencapai khusyuk di dalam solat antaranya tidak memikirkan hal-hal keduniaan, meletakkan sepenuhnya hati kita dekat dengan Rab al-Jalil serta menghayati setiap makna dan pengertian pada setiap kalimah yang kita lafazakan.

Begitu juga dalam perihal kejayaan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi, solat umpamanya yang kita lakukan setiap hari dalam kehidupan secara tidak langsung sudah mengajar kita erti berusaha demi mencapai kejayaan. Kefarduan solat lima waktu yang diwajibkan ke atas kita sehari semalam sudah cukup membuktikan bagaimana seorang muslim itu boleh berdisiplin dan berusaha kearah menunaikan kewajipan itu. Juga pada tempoh tertentu yang Allah tetapkan bagi setiap solat yang kita lakukan juga sudah memadai menjadi kayu ukur nilai usaha dan iltizam kita dalam kehidupan bermula dari awal pagi hingga terbit semula fajar pagi keesokkan harinya. 

Tinggal lagi bagaimana kita sebagai insan yang bergelar khalifah ini ingin merealisasikan dalam kehidupan dan kerja buat kita seharian. Bagaimana hadith Nabi menyebut berkaitan usaha itu bermula dari diri sendiri;

“Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda: Sungguh, seandainya salah seorang di antara kalian mencari kayu bakar dan memikul ikatan kayu itu, maka itu lebih baik, daripada ia meminta-minta kepada seseorang, baik orang itu memberinya ataupun tidak.” (HR. Bukhari dan Muslim).


Aturan Sunnatullah vs Pegangan Syariatullah

Kejayaan sebenar dalam diri manusia apabila mereka mampu untuk mencapai Sunnatullah dan Syariatullah dalam masa yang sama. Apa yang dimaksudkan dengan kedua-dua frasa ini. Sunnatullah adalah aturan alam yang ditentu dan diberikan oleh Allah kepada sesiapa sahaja antara makhluknya yang berusaha untuk hidup. Adapun Syaritullah adalah hukum syariat yang ditentukan Allah kepada setiap daripada muslim untuk berusaha menunaikan kewajipan tersebut. Apabila kedua-dua ini mampu dilakukan dan diseimbangkan oleh seseorang barulah dia selayaknya menjadi seorang yang benar-benar berjaya di dunia dan akhirat.



Saya bawakan satu analogi mudah untuk sama-sama kita memahami konsep Sunnatullah dan Syariatullah ini iaitu kisah Ahmad dan Ah-Chong. Ahmad merupakan seorang muslim yang bertugas sambilan sebagai bilal masjid, manakala Ah-Chong adalah seorang yang berfahaman Eteis. Kedua-dua mereka mempunyai persamaan iaitu sebagai peladang yang menjadikan jagung sebagai sumber utama tanaman mereka.

Ahmad seawal pagi bangun bertahajjud dan mempersiapkan dirinya ke masjid menunaikan solat fardu Subuh berjemaah. Sesudah subuh biasanya Ahmad akan mengaji al-Quran sehingga pukul 10 pagi, barulah sesudah itu dia akan turun ke ladang jagungnya. Pada Ahmad jagungnya tidak lah perlu dibuat batas-batas air kerana barangkali sirammannya pada setiap hari itu sudah mencukupi. Begitu juga dengan baja yang digunakan Ahmad biasa-biasa sahaja, baginya cukup hanya dengan sekadar berdoa agar dijauhi dari kerosakkan atau bala. Apabila selesai dia akan pulang ke rumah untuk mempersiapkan diri sebagai bilal masjid.

Sebaliknya Ah-Chon pula, seawal pagi sekitar jam 8 pagi sudah turun ke ladang jagungnya. Sebagai seorang yang tidak beragama Ah-Chong beranggapan dia kena rajin dan cukup berusaha untuk memastikan hasil tanaman jagungnya itu nanti berkualiti dan baik. Setiap hari diperbaiki batas-batas air tanamannya, juga diberikan baja yang terbaik, dicantas daun-daun yang buruk yang disangkanya akan memudaratkan tanamannya. Ah-Chong pulang ke rumahnya pada waktu petang sesudah selesai menjalankan tanggungjawabnya.

Kedua-dua mereka menjalankan rutin ini seharian bermula dari awal penanaman sehinggalah jagung mereka mengeluarkan hasil. Sesudah sebulan penantian terhadap hasil tanaman mereka, Ahmad tidak dapat membezakan mana satu jagung dan mana satu lalang yang sama tinggi dengan tanamannya. Sebaliknya Ah-Chong mendapati jagungnya begitu sihat dah penuh berisi serta tidak ada lalang yang memanjang.

 Pengajaran atau ‘ibrah yang kita boleh ambil dari kisah ini adalah kehidupan sebagai manusia di muka bumi ini tidak dapat lari dari aturan alam yang sudah ditentukan oleh Allah. Sifir yang mudah adalah bagi sesiapa sahaja yang berusaha samada dia muslim atau tidak muslim, sudah tentu akan memperoleh kejayaan.

Sesungguhnya Allah bersifat dengan ar-Rahman pada seluruh muslimin di dunia ini dan bersifat  ar-Rahim kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa budaya dan agama. Oleh sebab itulah, kejayaan bahkan kekayaan itu akan juga diberikan kepada sesiapa sahaja sekalipon dia tidak menyembah Allah ‘azzawajal, asalkan saja dia terus-menerus berusaha ke arah itu.


Dugaan bukan halangan, sebaliknya bunga-bunga kehidupan



Setiap detik dan ketika dalam kehidupan manusia adalah ujian dan cabaran, kadang-kadang cabaran ini lah yang menjadikan manusia itu makin hari makin matang lantas meneruskan kehidupan. Kunci kejayaan adalah kesungguhan dan kesungguhan pula sudah tentu menuntut kepada kesabaran yang tinggi. Berlaku sabar pula bukanlah suatu yang mudah apatah lagi pada saat dan ketika insan itu jauh dan terleka dengan lautan hawa nafsu yang bergelora. 

Manusia sebenarnya bukan sahaja berperang dengan faktor sekeliling mereka sahaja bahkan turut berperang dengan musuh utama yang licik di dalam diri sendiri iaitulah hawa nafsu yang bermaharaja lela di dalam setiap dari tubuh anak adam. Hawa nafsu yang bersarang di dalam diri menyebabkan tindakan seringkali tersasar dari matlamat sebenar kehidupan dan asal tujuan sebagai insan.

Salah sama sekali jika ada yang menyatakan nafsu itu tidak seharusnya wujud dalam diri manusia, bahkan oleh sebab nafsu itu lah manusia dapat meneruskan kehidupan yang mencabar ini, sebagai contoh mudah manusia berhajat kepada makanan disebabkan nafsu yang ada pada dirinya yang mendorong kearah itu. Fitrah manusia ingin berkahwin mendirikan rumah tangga, mempunyai harta dan segala-galanya berkaitan kehidupan, itu semua wujud daripada nafsu atau sifat berkehendak yang ada pada diri manusia.

Namun barang diingat nafsu yang tidak dikawal dengan iman, hati dan akal yang sihat akan menyebabkan manusia mudah sekali terjerumus kearah maksiat dan kemabukan duniawi. Bagaimana hadith yang diriwayatkan di dalam sohih Bukhori dan Muslim oleh Nu’man bin Basyir menyebut, Nabi bersabda maksudnya :

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

Hati yang sihat membawa maksud hati yang penuh keimanan kepada Allah s.w.t, hati yang dekat dengan Allah dan jauh dari segala bentuk maksiat dan perbuatan yang dilarang.

Analogi yang mudah untuk difahami seperti sebuah bas persiaran yang sarat dengan penumpang, di hadapannya seorang pemandu dan seorang pemungut tiket. Kita perhatikan bagaimana keseluruhan penumpang itu boleh yakin dan rasa selamat dengan pemanduan pemandu itu, boleh jadi adalah disebabkan pemandu yang baik dan berhati-hati yang mengikut peraturan jalan. 

Pemanduan yang baik itu lah yang akan memastikan keseluruhan penumpang tiba di destinasi dengan selamat. Kita perhatikan pula jika pemandu itu bersikap sebaliknya tidak mengikuti peraturan jalan dan sebagainya sudah tentu akan memudaratkan penumpang.
Bagaimana jika kita ibaratkan pemandu itu seolah-olah hati yang ada dalam diri kita, andai baik hati itu sudah tentu kita akan dipandu kearah jalan yang baik, lurus dan tidak menyimpang. 

Hati inilah yang akan menundukkan hawa nafsu yang bermaharaja lela di dalam diri sekaligus menyemarakkan sinar iman dan ketaqwaan. Andai sebaliknya kita barangkali kita mudah-mudah menempatkan diri kita ke lembah kebinasaan dan kezaliman, na’uzubillahi min zaalik.

Tangga kedua yang perlu ada pada kita sebagai manusia adalah kesabaran dan mujahadah yang tinggi dalam mencapai kesucian hati itu sendiri. Keimanan yang hendak disuburkan di dalam hati itu bukan boleh dicapai sekelip mata, ianya tidak boleh dipindahkan begitu sahaja dari individu ke individu yang lain. Bahkan memerlukan kepada sumber kekuatan dan rujukan yang asli dan bebas dari unsur-unsur kemaksiatan kepada Allah ‘azzawajal.

Bermula dari kekuatan diri itulah yang akan memberi kekuatan pada setiap individu untuk menghadapi segala ujian dan cabaran di luar dengan lebih baik. Sudah tentu pada diri manusia yang mampu mengawal hawa nafsu mereka dengan baik mereka akan mencapai peringkat kemanisan iman dan ketaqwaan yang tinggi sehinggakan mereka mampu berkata ujian dan cabaran kehidupan itulah bunga-bunga kehidupan.


Inspirasi Kesabaran dan kekuatan dari seorang Yusof a.s

Nabi Yusuf a.s seperti mana yang kita ketahui merupakan salah seorang dari Rasul ulum azmi yang telah dirakamkan di dalam al-Quran. Baginda merupakan salah seorang putera Nabi Yaakub a.s yang banyak menghadapi ujian dan cabaran yang berat di sepanjang kehidupan baginda. Bermula daripada ujian tipu daya saudaranya sendiri sehingga kepada godaan daripada Imraatul ‘Aziz (isteri al-Aziz) dan kemudian baginda dipenjara beberapa tahun tanpa sebab.



Setelah itu, baginda menerima kemewahan , dianugerahkan kesenangan, juga dilantik sebagai menteri yang menguruskan perihal pertanian, ekonomi dan merancang pengurusan makanan pada musim kemarau yang hampir sahaja menghancurkan negeri Mesir dan kawasan sekitarnya.

Segala ujian dan cabaran berat yang menimba nabi Allah Yusuf a.s tidak sekalipun melemahkan dan menggoncang kesabaran baginda. Maka tidak hairanlah jika Allah kemudiannya mengurniakan pangkat dan kesenangan di muka bumi sesuai dengan kehendak-Nya lalu diangkat Nabi Yusus a.s sebagai orang yang bertanggungjawab mentadbir isi bumi iaitulah sebagai balasan atas kesabaran dan ketaqwaan baginda a.s.

Al-Imam As-Syafie rahimahullah pernah ditanya: “Manakah yang lebih utama bagi seorang Mukmin jika diberi ujian kesusahan atau diberi pangkat dan kesenangan?”.

Beliau menjawab: “Tidaklah pemberian pangkat dan kesenangan itu lebih baik kecuali setelah mengalami ujian yang berat. Sesungguhnya Allah telah menguji atau memberi ujian dan cubaan yang berat kepada Nabi Yusuf a.s sebelum memberi kesenangan kepadanya sebagaimana firman Allah s.w.t;

وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ ۚ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَاءُ ۖ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٥٦﴾

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.

Bagaimana kisah kejayaan Nabi Yusuf a.s dari berkat kesabaran dan ketaqwaan baginda dalam menghadapi saat kesukaran dalam liku-liku kehidupan itu sehinggakan menjadi kejutan kepada saudara-saudaranya sendiri, sebagaimana dirakamkan perihal ini di dalam surah Yusuf, Allah berfirman;

قَالُوا أَإِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ ۖ قَالَ أَنَا يُوسُفُ وَهَـٰذَا أَخِي ۖ قَدْ مَنَّ اللَّـهُ عَلَيْنَا ۖ إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٩٠﴾

Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Kunci utama kepada kejayaan Nabi Allah Yusuf a.s adalah ketaqwaan dan kesabaran yang tinggi dalam diri baginda sehinggakan dianggkat kedudukan baginda di tempat yang tinggi dan mulia. Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam bukunya “Al-Sobri fil Quran”, taqwa itu meliputi segala kebaikkan manakala sabar itu pula makna yang ada pada semua kebajikan. Jika kedua-dua elemen ini ada pada seseorang, maka dia termasuk di kalangan orang-orang yang “muhsinin”. Dan Allah sama sekali tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikkan.

Kesabaran nabi Allah Yusuf a.s diuji tatkala digoda oleh isteri al-Aziz, sedangkan pada ketika itu faktor sekeliling begitu mendorong. Namun nabi Yusuf dengan menolak dengan tegas dan meletakkan keimanan baginda di hadapan sebagai benteng. Saat ketika wanita itu berterus terang dan mempersiapkan segalanya nabi Yusuf a.s berkata;

وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّـهِ ۖ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿٢٣﴾

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".

Seterusnya ujian kedua yang dihadapi oleh nabi Yusuf tatkala berhadapan dengan ancaman imraatul ‘aziz di hadapan wanita-wanita lain di istana. Wanita itu dengan geram berkata;

قَالَتْ فَذَٰلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ ۖ وَلَقَدْ رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ ۖ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ الصَّاغِرِينَ ﴿٣٢﴾

(Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."

Sesungguhnya nabi Allah Yusuf a.s telah memilih jalan ketaqwaan dan keimanan dengan menolak perkara mungkar itu walaupun baginda menyedari akan menghadapi ujian dunia dan ancaman kezaliman pihak tertentu. Baginda dengan penuh yakin memilih untuk mengorbankan dirinya dengan penjara di dunia daripada terpaksa menggadaikan aqidah dan keimanan dengan tunduk pada godaan nafsu dunia. Bagaimana al-Quran merakamkan keyakinan dan keimanan nabi Yusuf a.s;

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ ﴿٣٣﴾

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".

Kesabaran nabi Allah Yusuf a.s dikatakan lebih tinggi berbanding kesabaran nabi Ayub a.s kerana ujian yang datang kepada baginda Ayub a.s berbentuk “ithdirari” (terpaksa) sedangkan ujian yang datang kepada nabi Yusuf a.s adalah berbentuk “ikhtiyari” (pilihan).

Diringkaskan sehinggalah beberapa tahun baginda dipenjarakan, berkat kesabaran dan kemuliaan yang ada pada diri, baginda lantaran dilantik menjadi bendahara Negara Mesir pada ketika itu setelah dibebaskan. Dimuliakan kedudukan baginda sesudah daripada itu, dan diberi kehormatan pada setiap mata yang memandang baginda sehinggakan gugur segala tuduhan dan tohmahan rekaan manusia sebelum daripada itu.



Ibrah yang dapat kita ambil dari kisah nabi Yusuf a.s ini adalah bagaimana baginda sejak kecil diuji dengan ujian kehidupan yang berat sehinggakan baginda terpaksa berjauhan dengan keluarga dan ayahanda baginda nabi Ayub a.s. Namun baginda terus yakin dan sabar dengan ujian Allah tanpa banyak mengeluh, kerana keimanan dan ketaqwaan itu mengatasi segala-galanya.

Hari ini boleh jadi kita belum lagi diuji dengan ujian yang berat, persoalan yang lebih utama adakah kita mampu menghadapi ujian tersebut?. Apakah kita sudah mempersiapkan diri kita dengan kekuatan yang lengkap untuk menghadapi situasi itu?. Persoalan ini harus bermain di fikiran kita selagi mana kita masih bergelar manusia dan khalifah di muka bumi ini.

Ukuran kejayaan itu bukan hanya semata-mata kita merancang dan berusaha, tetapi sejauh mana kita meraih keredhaan dan keberkatan dari Allah atas semua usaha dan kerja buat kita. Moga kita semua dijauhkan dari sifat takbur riak dan sombong dalam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Cukuplah al-Quran menjadi pedoman pada setiap dari kita dan Rasulullah menjadi khudwah dan ikutan kita sepanjang zaman.


Mohd Naseer Kasim,
Irbid, Jordan.

9.50 p.m


0 comments:

Post a Comment