Tuesday, February 18, 2014

Al-Imam Al-Syafie : Penyusunan Ilmu Usul Fiqh


Tulisan asal oleh Hj. Ibnor Azli Ibrahim dan Hj. Radzuan Nordin. 

Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Usul Fiqh 2004




Penulisan ini menyentuh tentang seorang tokoh dan pengasas kepada mazhab Syafie. Beliau merupakan seorang ulamak tersohor dan istimewa di persada fiqh. Berketurunan suci dari Rasulullah s.a.w dan pernah mengembara di banyak kota-kota Islam yang menjadikan ketokohannya amat diyakini. Ilmu usul fiqh yang merupakan alat kepada pembentukan hokum adalah merupakan ilmu yang paling diberikan pemerhatian dalam mazhab yang diasaskannya.


Riwayat Ringkas Al-Imam Al-Syafie

Ketokohan beliau sebagai ulama diabadikan oleh Abu Thaur dengan katanya:

“Kami tidak pernah menemui seorang ulama sehebat al-Syafie dan dia sendiri pasti tidak pernah melihat ulama sehebat dirinya” (Ibnu Kathir 1974:252)

Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafue bin al-Sa’b bin Abdullah bin Ubaid bin Hashim bin al-Mutallib bin Abd Manaf bin Qusai al-Qurasyiy al-Mutallibby al-Hijaziy al-Makkiy. Bertemu nasabnya dengan Rasulullah s.a.w pada datuknya yang keempat iaitu Abd Manaf. Datuknya al-Sa’ib adalah seorang sahabat Rasulullah s.a.w dan memeluk Islam selepas perang Badar. Dalam perang tersebut al-Sa’ib berperanan membawa panji-panji Bani Hashim, beliau akhirnya ditawan oleh Mujahidib. Al Sa’ib bertindak menebus dirinya dan memeluk Islam (Al-Nawawi t.th:7).

Beliau dilahirkan di Ghazzah (Gaza) di Palestin yang terletak kira-kira dua marhalah dari Baitul Maqdis pada tahun 150 Hijriah. Pada tahun itu jugalah wafat al-imam Abu Hanifah. Ibundanya telah membawanya bermusafir ke Mekah yang merupakan tanah asal ayahnya di usia beliau dua tahun. Di Mekah beliau mendapat pendidikan awal dengan menghafaz al-Quran di usia kanak-kanak dan bergaul pula dengan Bani Huzail. Di perkampungan Bani Huzail beliau mempelajari Bahasa Arab dan sasteranya dengan lebih mendalam (al-Hijawi 1995: 464). Beliau menuntut ilmu Fiqh dari al-imam Muslim bin Khalid al-Zunjiy seorang ulama di Masjidil Haram. Beliau akhirnya diizinkan memberi fatwa di Mekah di usia 15 tahun. Antara guunya yang terkenal ialah Muslim bin Khalid, Sufyan Uyaynah dan al-imam Malik (al-Futur 1995: 71).

Al-Syafie menyatakan seperti yang dinukilkan oleh al-Hijawi, “Apabila aku kembali ke Mekah dari Huzail lalu aku membacakan syair, sastera dan kesah-kesah lama Arab. Seorang lelaki dari Al-Zubaidiyyin berkata: “Aku bimbang bersama kefasihan dan kebijaksanaanmu kamu ini disertai pula oleh Fiqh makan kamu akan mengatasi ulama zaman ini”. Aku bertanya: “Siapa yang kamu maksudkan”. Beliau berkata: “Al-Imam Malik penghulu Muslimin zaman ini”. Jawapan ini memberi kesan kepada diriku lalu aku meminjam kitan Al-Muwatta’ dan mengahafaznya dalam tempoh Sembilan malam. Selepas itu aku bertemu Imam Malik dan mempelajari kitab tersebut” (al-Hijawi 1995: 464/5). Beliau sempat berada di Yaman dan Iraq di Baghdad khususnya beberapa kali. Kembara ilmunya terhenti di Mesir setelah tersebar himpunan pendapatnya yang dinamakan al-Qaul al-Qadim di Iraq. Ketika itu Mazhab Maliki tersebar luar di Mesir. Di Mesir, beliau menetap sehingga wafat dan himpunan pendapatnya di sini dikenali sebagai al-Qaul al-Jadid (al-Furtur 1995:71).

Al-Imam al-Syafie telah menjelaskan usul mazhabnya dalam kitab al-Umm ketika beliau meringkaskan tingkatan ilmu (al-Syafie 1968:346). Usul mazhab beliau ialah: al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ sahabat dan al-Qiyas. Beliau menerima kehujahan Khabar Ahad danHadis Mursal dengan syarat-syarat tertentu. Beliau tidak mensyaratkan Shuhrah dalam Khabar Ahad seperti yang dilakukanoleh Abu Hanifah. Beliau juga tidak mensyaratkan ia bertepatan dengan amalan Ahl Al-Madinah seperti yang dilakukan oleh Imam Malik. Hadis Mursal yang diterimanya pula ialah dari golongan Tabiin yang utama seperti Said bin al-Musayyab dengan syarat-syarat sampingan. Beliau wafat di Mesir pada tahun 204 Hijriah (Abdul Karim Zaidan 1996:141).



Penyusunan Ilmu Usul Fiqh Di Zaman Al-Syafie

Al-Imam al-Syafie adalah ulama mazhab yang ketika selepas Abu Hanifah, Malik dan selepasnya adalah Ahmad bin Hanbal. Kedua-dua imam mazhab yang sebelumnya adalah antara ulama yang paling banyak meninggalkan khazanah fiqh yang perlu diuruskan dengan baik. Inilah yang mendorong al-Syafie untuk melakukan suatu pembaharuan Usul Fiqh yang mudah dituruti, di samping sebab lain yang akan disebutkan selepas ini. Antara sebab-sebab penyusunan Ilmu Usul Fiqh ini ialah:

1)      Faktor jauhnya zaman al-imam al-Syafie dari zaman Rasulullah s.a.w yang membuatkan para fuqaha terlalu memerlukan kepada suatu kaedah pembentukan hukum yang boeh dirujuk ketika mereka berhadapan dengan perkara baru yang tidak wujud sebelum ini. Dalam hal ini Ibnu Khadun menyatakan:

“Apabila zaman salaf berlalu, seluruh ilmu telah menjadi ciptaan baru yang dipelajari secara bersistem seperti yang kita jelaskan sebelum ini, maka para fuqaha telah berusaha menghasilkan suatu kaedah dan undang-undang khas dalam membentuk hukum dari dail-dalil Syarie. Mereka telah menyusun ilmu yang tersendiri dalam bidang ini dan dinamakan ilmu Usul Fiqh” (Ibnu Khaldun 1993: 455).

2)      Wujudnya perselisihan para fuqaha akibat berbeza aliran dalam permasalahan fiqh. Aliran yang dimaksudkan ialah aliran Ahl al-Hadis dan aliran Ahl Ra’yi. Al-Imam al-Syafie telah mengkaji hal ini. Beliau melihat perbalahan dalam menegakkan fahaman masing-masing anatara aliran ini perlu dibendung. Dalam hal ini al-Hijawi menyatakan:

“Antara perkara yang mereka anggap sebagau tercela ialah sesuatu yang tidak dilakukan oleh ulama mereka. Mereka berkata: kalaulah ia perkara yang baik nescaya ulama kita melakukannya dan seterusnya menjadi masyhur. Maka satu golongan menyalahkan golongan yang lain dengan menuduhnya meninggalkan sunnah dan mengikut akal semata-mata, manakala yang satu lagi menuduh golongan pertama sebagai lemah akal dan beku fikiran” (al-Hijawi 1980: 316).

3)      Pencemaran bahasa (bahasa Arab) yang berlaku akibat percampuran antara perbagai bangsa di kota-kota utama Islam. Perkara ini memberi kesan kepada kemahiran memahami nas-nas Syarie dan menyukarkan pembentukkan hukum. Oleh itu suatu undang-undang dan kaedah perlu dibentuk untuk mengawal aktiviti istinbat.

4)      Keperluan yang mendesak kepada penggunaan Qiyas akibat berlakunya masalah-masalah baru yang belum terjadi sebelum ini. Adalah suatu yang sukar untuk mengeluarkan hukumnya secara terus dari al-Quran dan al-Sunnah, sebalikknya masalah itu perlu dikenal pasti illahnya dan kemudia diberikan hukum menerusi petunjuk nas (al-Berdisiy 1997: 10).



Al-Syafie Ulama Pertama Menyusun Ilmu Usul Fiqh

Ulama pertama yang menyusun lmu Usul Fiqh sebagai suatu ilmu yang tersendiri ialah al-Imam al-Syafie al-Mutallibi al-Quraisyi. Inilah pendapat jumhur Ulama dan perkara ini dipersetujui secara ijma’. Ibnu Khaldun menyatakan:

“Orang pertama menyusun Ilmu Usul Fiqh ialah al-Imam al-Syafie r.a. ia           dimuatkan di dalam kitabnya yang masyhur iaitu: al-Risalah. Beliau membahaskan persoalan suruhan, tegahan, al-Bayan, al-Khabar, konsep nasakh dan hukum illah yang dinaskan melalui al-Qiyas” (Ibnu Khaldun 1993: 455).

Perkara ini juga telah disepakati oleh para ulama seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Isnawi:

“Imam kita al-Syafie adalah pelopor kepada ilmu ini tanpa ada pertikaian lagi. Beliau adalah pengasan ilmu ini secara ijma’ ulama” (al-Asnawi 1978: 45).

Kenyataan ini disokong oleh al-Sayuti seperti yang disebutkan oleh al-Hijawi:

“Al-Sayuti menyatakan: secara ijma’nya, para ulama memperakui bahawa Syafie adalah penyusun kepada ilmu ini. Beliau adalah orang pertama yang memperkatakannya lantas mereka meminta belau menulisnya. Imam-imam sebelumnya ada mengisyaratkan kaedah-kaedah itu dalam kitab-kitab dan pengajaran mereka seperti al-Imam Malik, al-Imam Abu Yusuf dan al-Imam Muhammad bin Hassan” (al-Hijawi 1980: 404).

Kita perlu memahami, meskipon al-Imam al-Syafie merupakan orang pertama mengasaskan penyusunan ilmu ini sedemikian rupa, namun begitu ulama-ulama sebelumnya tetap berperanan dalam membentuk kaedah-kaedah yang boleh diguna pakai dalam mazhab mereka. Malangya mereka tidak meletakkannya dalam suatu susunan yang lengkap yang mencakupi keeluruhan konsep, tajuk dan permasalahannya. Persembahan yang lengkap inilah yang menjadikan al-Syafie terkehadapan dalam hal ini.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan imam-imam sebelum al-Syafie seperti al-Imam Abu Hanifah, al-imam Malik, al-imam Abu Yusuf dan al-Imam Muhammad bin Hassan telah mendahuluinya dalam penysuunan ilmu Usul Fiqh. Kenyataan ini boleh ditolak balik secara logik apabila tidak terdapat apa-apa kitab sampai kepada kita yang mengandungi hasil susunan ilmu ini selain dari al-Syafie. Perlu juga diakui bahawa tiada suatu ilmu pon yang boleh berkembang secara spontan dan tiba-tiba, ia perlu kepada tahap-tahap yang tertentu sebelum ia menjadi matang dan lengkap sehingga ia boleh disusun denga sempurna.

Tidak boleh dinafikan bahawasanya ilmu Usul Fiqh telah diperkatakan oleh ulama-ulama sebelum al-Syafie bahkan konsepnya adalah jelas semenjak di zaman RAsulullah s.a.w lagi. Apa yang dimaksudkan dengan terkehadapannya al-Syafie dalam bidang ini ialah “dalam penyusunan ilmu itu”. Sudah pasti tidak seorang pun yang mendahuluinya kerana beliaulah yang menyusun ilmu itu secara lengkap dan sampai ketangan kita sehingga hari ini (Abu Sulaiman 1983: 65).












0 comments:

Post a Comment