Monday, February 17, 2014

Permata Yaman : Syeikh Abdul Majid al-Zindani






Syeikh Abdul Majid al-Zindani (الشيخ عبد المجيد الزنداني) seorang ulama haraki yang terkemuka di dunia Islam sebaris dengan Syeikh Yusuf al-Qardhawi. Bercerita tentang Sana’a tidak sah tanpa selit kisah Syeikh Zindani, bercerita tentang Hadhramaut tidak sah tanpa selit kisah Habib Umar.

Beliau ialah pengasas dan sekarang menjawat jawatan rektor Universiti al-Iman, Sana’a (جامعة الإيمان الشرعية). Pengasas Pusat Kajian Saintifik al-Quran dan Sunnah (الهيئة العالمية للإعجاز العلمي في القرآن والسنة) yang berpusat di Mekah, Ketuan Dewan Syura Yaman Parti Islah (مجلس شورى التجمع اليمني للإصلاح) bersama Syeikh Abdullah al-Ahmar (الشيخ عبد الله الأحمر).

Nama penuh beliau ialah Abdul Majid bin Abdul Aziz. Berasal dari satu daerah bernama Ibb (إب) di Yaman (الجمهورية اليمنية). Dilahirkan pada tahun 1942 - sekarang sudah berumur 68 tahun. Pendidikan awalnya sudah tentulah dibawah asuhan ayahandanya Syeikh Abdul Aziz bin Hamud al-Zindani. Kemudian sambung belajar ke Aden. Selepas itu ke Universiti ‘Ain Syams (جامعة عين شمس), Mesir dalam Kuliah Sains. Setelah 2 tahun belajar, beliau menukar kuliah kepada Kuliah Syariah di al-Azhar. Ketika inilah beliau mula terlibat dengan gerakan dakwah Ikhwanul Muslimin. Gerakan ini sangat memberi kesan ke atas beliau  tentang  peri  pentingnya  ikhlas  dalam  menyebar  agama  Islam  dan senantiasa berkorban untuk agama  Allah. Akhirnya  beliau ditahan  oleh pemerintah  Mesir ketika  itu (1962) dan dihantar balik ke Yaman. Itulah sunnah orang berjuang rela berkorban apa saja, sanggup dipecat dihalau demi kebenaran.

Di Yaman beliau menekuni kembali ilmu-ilmu Islam dibawah asuhan para ulama Yaman sebelum berangkat ke Saudi. Di Saudi beliau mentelaah ilmu agama dibawah ajaran bekas mufti Saudi - Ibnu Baz dan Syeikh Uthaimin serta ulama Saudi lainnya. Pada waktu inilah beliau menubuhkan Pusat Kajian Saintifik al-Quran dan Sunnah (1986/1406) di Mekah.

Syeikh Zindani terkenal kerana kajian saintifiknya berkaitan Al-Quran (I’jaz Ilmi). Kajiannya yang mengaitkan Quran dengan sains, perubatan, biologi, nuklear dan seumpamanya membuatkan namanya terkenal sehingga ke Eropah dan ramai orang masuk Islam ditangannya. Kajian terbarunya berkaitan lapisan ozon dan kaitannya dengan solat 5 waktu. Dan sebelum itu Syeikh Zindani mengejutkan banyak pihak dengan dakwaan beliau telah menemui penawar bagi penyakit AIDS.

Begitulah janji Allah, apabila Dia menginginkan kebaikan atas seseorang itu maka Dia memberi faqih dalam agama. Dan faqih agama tidak semestinya mahir dalam hukum hakam, Hadith atau pandai bertaranum sehingga pandai melagukan gaya Sudais atau Syurim di dalam solat. Tapi faqih ialah mereka memahami agama dalam konteks kehidupan beragama sehingga dia seorang manusia yang bertaqwa, menjadikan Islam sebagai way of life, menjadi insan rabbani bukan insan ilmaniy. Itulah baru membumikan Quran bukan mengebumikan Quran.

Pernah mengajar di Mahaad Nur Islami (معهد النور الإسلامي) di Yaman dan beberapa universiti lain di negara arab. Pernah menjadi wakil Rabitah Islami (رابطة العالم الإسلامي) yang berpusat di Mekah. Mendapat ijazah PhD dari Universiti Omdurman (جامعة أم درمان الإسلامية), Sudan.

Selain itu beliau menjadi pembentang kertas kerja dipelbagai muktamar antarabangsa termasuk di Malaysia. Dan karyanya diterjemah dalam pelbagai bahasa. Antara karnya ialah Kitab al-Iman, Tariq al-Iman, Tauhid al-Khaliq dan banyak lagi.

Beliau juga sering diundang oleh pihak media tv. Antara rancangan beliau yang popular ialah Bukti-Bukti Keimanan (براهين الإيمان), Sesungguhnya Allah Benar (إنه الحق), Soal Jawab Tentang Ayat Quran (سؤال عن آية من الذكر الحكيم) yang mengandungi fatwa dan pandangan Syeikh Zindani berkaitan hal semasa dan banyak lagi. Syeikh Zindani lebih suka bercakap dalam loghat fasahah atau berbahasa arab baku dan mensyaratkan pelajarnya dan pensyarah berbahasa arab baku di dalam Jami’ah al-Iman. Itu satu kelebihan di Jami’ah, ini kerana salah satu asas manhaj Ikhwanul Muslimin ialah berbahasa arab baku.

Isi kandungan karangan Syeikh Zindani ini dikupas dengan gaya yang agak berbeza. Beliau telah menggandingkan hujjah-hujjah saintifik dan hujjah-hujjah naqli sebagai pembuktian kebenaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Contohnya beliau telah mengaitkan ayat 57 daripada surah Al- A'raaf dengan penjelasan saintifik yang mudah diterima akal.

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan) hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang) lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)" - Al-A'raaf:57

Kadar dan kelajuan angin yang Allah hantar adalah amat sesuai untuk membawa awan dan bebannya tanpa meleraikan dan merosakkannya. Jika kelajuan angin mencecah 75 batu sejam, harta benda akan rosak. Dengan kelajuan angin mencecah 200 batu sejam pula, seluruh kehidupan di muka bumi akan hancur.

Angin hanya berada setinggi lima batu sahaja di atas kepala kita. Pada ketinggian melebihi lima batu dari aras laut, terdapat gelombang angin dengan kelajuan 200 batu sejam.

Kelebihan Syeikh  Zindani yang  bidang kemahirannya  adalah bidang  agama boleh mengaitkan ayat Al-Quran dengan hujjah saintifik yang amat terperinci sekali.


1 comment:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

    Salam... Pautan ni x boleh nk Access

    ReplyDelete