Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris.
Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin
Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf.
Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi
Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah
kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi.
Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di
Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting.
Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia,
sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun
baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal
Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan
Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’
tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun
beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai
guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi
belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan
akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk
menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah
kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada
tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang
mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi
untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau
diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus
menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara
tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa
waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan
tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat
mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib.
Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda Sultan
dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan
supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting
adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka
akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie
juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam
senarai para pemimpin Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan
Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya.
Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab
Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama
dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan
darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun dimulai.
Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka
ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan
tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak
ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu
giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke
hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah
SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan
rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin
wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada
baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah
wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau
mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa
engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan
kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda
sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam
Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada
orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh
bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana
Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya
Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan
Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam
ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian
Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana
sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat
hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun
ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa
alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan
baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka
Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan
kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.
Setelah rantai yang membelenggu kedua
kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian
membaca surah Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang
kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti
agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui
keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita
yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini
menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah
kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita
sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana
saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah,
biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan
tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.”
Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan
kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah
engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus
memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai
ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak
yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan
keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai
suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.
0 comments:
Post a Comment