Menyingkap Rahsia Tasik Tobari
(Tasik Tobari pandangan dari jauh)
Alhamdulillah baru-baru ini saya dan beberapa
rakan yang lain ditugaskan menjadi “Tourist Guide” kepada
pelajar-pelajar baru Malaysia di Jordan bersempena Jaulah Tarbawi anjuran
Persatuan di sini. Banyak tempat yang kami lawati dan salah satu daripadanya
adalah kota Umm Qais atau juga dikenali sebagai Gadara pada suatu ketika dahulu
(barzantine) yang terletak di Utara Jordan. Kota ini sudah lama didikan sejak dari
zaman Romance sehinggalah berlaku peperangan Yarmouk kota ini berjaya dirampas
oleh Panglima Islam pada ketika itu, dan menjadi salah sebuah kota yang hidup
pada zaman pemerintahan Othmaniah.
Bersebelahan dengan kota ini terdapat sebuah
tasik yang disebut oleh Nabi ﷺ
dalam hadith baginda yang dikenali sebagai “Bahar At-Tobariya”. Namun entri saya
pada kali ini saya tidak akan menghuraikan berkaitan Umm Qais kerana Umm Qais
saya akan kisahkan pada entri yang lain sebaliknya berkaitan Tasik Tobariyah
yang kian lama makin dilupakan. Mungkin
ramai daripada rakan-rakan yang pernah terbaca atau mungkin juga ada di antara
kita tidak pernah mengetahui akan kewujudan tasik ini.
Tasik Tobari merupakan sumber air tawar yang
terbesar di timur tengah, dikatakan siapa yang menguasainya akan mengusai
sumber air di tanah arab. Jika anda mencarinya dipeta dunia, ia ditulis sebagai
Sea Of Galilee. Manakala orang Yahudi pula menamakannya sebagai Tasik Kinneret.
Ia adalah sebuah tasik air tawar dengan keluasan 166km persegi dan kedalaman
maksimum 43m. Ukur lilitnya 53km, 21 km
panjang dan 13km lebar. Dengan
kedudukannya pada 214m di bawah aras laut, menjadikan tasik ini tasik air tawar
yang paling rendah di atas muka bumi ini, dan tasik yang kedua terendah di
dunia selepas Laut Mati.
Bagi mereka yang
mendalami perbandingan agama, sumber Bible banyak mencatatkan
peristiwa-peristiwa penting berkaitan dengan Jesus. Ramai daripada pengikut
beliau berasal dari sekitar tasik ini. Mereka juga mendakwa di tasik inilah
Jesus memperlihatkan keajaibannya dengan berjalan di atas air, menenangkan
ribut dan mendatangkan makanan dari langit untuk pengikutnya.
Ketika di era
Byzantine ( Rom Timur ) yang maharajanya menganut agama Kristian, mereka telah
menjadikan tasik ini antara ritual ‘haji’ bagi penganut Kristian. Menurut
sumber sejarah juga, antara faktor kejayaan Salahuddin dalam menewaskan tentera
Salib dalam Perang Hittin, perang yang menentukan masa depan kota Jurussalem,
apabila beliau berjaya menyekat tentera salib daripada mendapatkan sumber air
tawar ini.
Tasik ini berada
dibawah pemerintahan islam hinggalah kerajaan yang terakhir Uthmaniyyah sebelum
ia dijajah oleh British yang menguasai Palestin. Apabila negara Israel ingin
diwujudkan, sempadannya dibina ditengah-tengah tasik ini berkongsi dengan
Syria. Dalam perang Arab Israel 1967, Israel berjaya mengusai keseluruhan tasik
ini hingga ke kawasan bukit Golan.
Setelah
perjanjian keamanan pada tahun 1994 antara Israel dan Jordan yang membawa
kepada pengiktirafan Jordan terhadap negara haram itu, Israel bersetuju untuk
menyalurkan air daripada sumber tasik itu kepada negara tersebut.
Beberapa tahun
kebelakangan ini, terdapat kajian yang menyatakan bahawa tasik Tobari bakal
lenyap di muka bumi ini kerana setiap tahun menyaksikan ia menyusut dengan
begitu ketara. Sama juga dengan Laut Mati yang dijangka kering pada tahun 2030.
Ini semua dikatakan berpunca daripada kegiatan penggalian dan penerokaan sumber
bumi yang tidak dikawal oleh Israel.
(Penulis bersama rakan-rakan Jordan)
Kemerosotan Paras Air Tasik Galilee
Akibat daripada tindakan rakus pihak berkuasa
Israel, bukan sahaja paras air Laut Mati merosot, bahkan juga lebih teruk
kerana mengakibatkan paras air Laut Galilee yang menjadi sebahagian daripada
punca air Laut bagi Mati juga terjejas dengan teruk.
Menurut laporan Israel Today pada 2 Januari
2008, paras air Laut Galilee akan mencapai paras terendah dalam tempoh 5 tahun.
Air laut tersebut telah surut lebih 12 kaki di bawah paras “red line”.
Akhbar Haaretz.com pada 11 Mac 2008,
telah melaporkan paras air di Laut Galilee yang menjadi pembekal air yang
utama kepada Israel dijangka akan merosot dengan teruk di bawah paras minimum
yang selamat menjelang akhir musim panas yang bakal menjejaskan kualiti air.
Akibatnya pihak berkuasa air terpaksa menggali punca-punca air yang baru bagi
meningkatkan bekalan air di laut tersebut.
(menikmati keindahan Sunset di Tasik Tobari)
Menurut laporan, jumlah defisit keseimbangan
air iaitu jumlah air yang dipam keluar berbanding dengan jumlah hujan akan
mencapai 410 juta cubic meters menjelang akhir tahun hamper dua kali ganda dari
tahun sebelumnya (2007). Secara keseluruhannya semenjak empat tahun sebelumnya
defisit terkumpul mencecah satu billion cubic meter.
Akhbar itu juga melaporkan paras air Laut
Galilee pada masa tersebut ialah 60 sentimeter lebih rendah
daripada tahun sebelumnya dan lebih 3 meter lebih rendah dari empat
tahun sebelumnya.
Seterusnya, menurut laporan SKY NEWS
pada 5 May 2009 pula, air Laut Galilee telah menyusut sebanyak beratus-ratus
meter. Paras air sekarang amat rendah sehinggakan pam terpaksa digunakan bagi
mengepam air ke atas bukit sebelum dapat memasuki Sungai Jordan.
Kemerosotan paras air Laut Galilee dikatakan
berpunca akibat daripada peningkatan jumlah penggunaan air akibat
daripada pertambahan jumlah penduduk. Penggunaan air domestic dianggarkan akan
mencapai 796 juta cubic meter menjelang akhir tahun 2008, iaitu lebih 134 juta
daripada jumlah penggunaan pada tahun 2000.
Krisis air yang yang berpunca daripada
pengeringan Laut Galilee ini dijangka akan berterusan dan akan menjadi semakin
kritikal walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa Israel bagi
meningkatkan paras air laut tersebut.
Bersambung pada siri II...
Mohd Naseer Kasim,
Univesity Of Yarmouk,
Irbid, Jordan.
12:18 p.m
0 comments:
Post a Comment