“Lepas ni hang p angkat pula satu lagi baja
bawak mai sini, lepas tu balik umah”.
Kata abah seusai aku selesai mengangkat baja
yang terakhir untuk ditabur pada sawah padi yang meluas di belakang rumah kami.
Abah seawal pagi sudah mengejutkan aku untuk
bangun membantu beliau di sawah. Bukan mudah untuk anak muda semacam aku yang
pada ketika itu berusia 14 tahun turun ke sawah mengangkat baja yang seberat 20
kg sepaket, sedangkan rakan-rakan yang lain rata-rata masih lagi dibuai enak
mimpi di pagi hari. Sedangkan abah sendiri bertekun turun ke sawah dengan
khudratnya semata-mata hendak membesarkan kami dalam keluarga yang serba
kekurangan pada ketika itu.
Maklumlah pada ketika itu aku bersekolah menengah
harian sesi petang dan setiap pagi rutin aku membantu ayah di sawah atau
menyiram sayur dan jagung di belakang rumah. Emak pula sebelum subuh sudah
bersekang mata mengadun tepung untuk dibuat kuih sepit. Hasil jualan kuih itu
lah emak kumpul untuk belikan barang-barang dapur sebelum menunggu hasil tuaian
padi abah.
Masih terngiang-ngiang di telinga aku
kata-kata abah waktu aku membantu beliau pada suatu hari.
“Abah ni dulu mengaji tak pandai, tunggu hampa
saja mengaji pulun, nanti bila hampa senang abah boleh tumpang senang”.
Kata-kata abah pada hari itu membuatkan aku
sepanjang hari berfikir dan cuba untuk berubah. Ditambah pula perjalanan ke
sekolah yang jaraknya hampir 15 km dengan menaiki Honda Bulat C70 memberi aku
sedikit inspirasi untuk berfikir tentang masa depan. Abah juga selalu
mengulangi bahawa dia dulu tidak sempat bersekolah tinggi disebabkan tangungjawab
sebagai anak lelaki sulung yang perlu ditunaikan demi menyekolahkan
adik-adiknya.
Aku faham benar sikap abah bila perasan aku
pada ketika itu memberontak dan agak tidak ikhlas membantu, abah akan memberi
kata ala-ala motivasi semata-mata hendak mententeramkan aku. Kata-kata abah dan
motivasi yang diberikan itulah agaknya membuatkan aku hari-hari berfikir untuk
menjadi seorang anak sawah yang tidak mengalah dan terus berusaha mencapai
cita-cita.
(Kisah ringkas catatan kehidupan)
Menanam benih usaha, menuai hasil kejayaan
Memperoleh kejayaan dalam kehidupan merupakan
suatu nikmat yang begitu berharga dalam kehidupan seseorang, namun mencapai kejayaan
bukanlah sesuatu yang mudah sudah tentu usaha demi usaha perlu dilakukan. Kata
pepatah melayu “ manakan dapat sagunya kalau tidak dipecahkan ruyung” atau “ pipih tidak datang melayang dan bulat tidak datang bergolek”.
Peribahasa ini
sudah cukup memberi inspirasi kepada kita bahawa kejayaan itu perlu ada usaha,
usaha pula perlu ada ketekunan dan disusuli dengan istiqomah. Tanpa usaha yang
berterusan bukan mudah bagi seseorang untuk mencapai apa-apa yang dihajatinya
dalam kehidupan.
Sebagai individu yang mentauhidkan Allah
sebagai tuhan yang menciptakan alam ini, kita diajar bukan sahaja meraih kejayaan
semata-mata di dunia bahkan kejayaan hakiki yang perlu kita rebut adalah
kejayaan di akhirat. Ramai kalangan manusia sering kali terlupa bahawa hakikat
dunia ini adalah sementara dan akhirat itu adalah selama-lamanya. Berkaitan
dengan kejayaan Allah berfirman dalam surah al-Mukminun:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah
orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya”.
Bagaimana dalam ayat yang pendek ini Allah
menjelaskan kepada kita yang berjaya itu adalah orang beriman yang khusyuk di
dalam solat mereka. Kalau dilihat dari sudut khusyuk itu sendiri menurut Imam
Zamakhsyari di dalam kitabnya al-Kasysyaf menyebut khusuk dalam solat
ialah hati berkeadaan takut dan mata selalu tunduk (ke tempat sujud).
Pengertian ini sudah cukup menimbulkan persoalan pada diri kita bahawa begitu
susahnya untuk kita mencapai khusyuk di dalam solat. Sudah tentu hendak
mencapai kepada khusyuk ini pun memerlukan kepada usaha yang kuat dari diri
kita.
Bagaimana pula ulama memberi panduan dan
beberapa tips untuk kita mencapai khusyuk di dalam solat antaranya tidak memikirkan
hal-hal keduniaan, meletakkan sepenuhnya hati kita dekat dengan Rab al-Jalil
serta menghayati setiap makna dan pengertian pada setiap kalimah yang kita lafazakan.
Begitu juga dalam perihal kejayaan dalam
kehidupan duniawi dan ukhrawi, solat umpamanya yang kita lakukan setiap hari
dalam kehidupan secara tidak langsung sudah mengajar kita erti berusaha demi
mencapai kejayaan. Kefarduan solat lima waktu yang diwajibkan ke atas kita
sehari semalam sudah cukup membuktikan bagaimana seorang muslim itu boleh berdisiplin
dan berusaha kearah menunaikan kewajipan itu. Juga pada tempoh tertentu yang
Allah tetapkan bagi setiap solat yang kita lakukan juga sudah memadai menjadi
kayu ukur nilai usaha dan iltizam kita dalam kehidupan bermula dari awal pagi
hingga terbit semula fajar pagi keesokkan harinya.
Tinggal lagi bagaimana kita
sebagai insan yang bergelar khalifah ini ingin merealisasikan dalam kehidupan
dan kerja buat kita seharian. Bagaimana hadith Nabi ﷺ
menyebut berkaitan usaha itu bermula dari diri sendiri;
“Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah
ﷺ
bersabda: Sungguh, seandainya salah seorang di antara kalian mencari kayu
bakar dan memikul ikatan kayu itu, maka itu lebih baik, daripada ia
meminta-minta kepada seseorang, baik orang itu memberinya ataupun tidak.”
(HR. Bukhari dan Muslim).
Aturan Sunnatullah vs Pegangan Syariatullah
Kejayaan sebenar dalam diri manusia apabila
mereka mampu untuk mencapai Sunnatullah dan Syariatullah dalam masa yang sama.
Apa yang dimaksudkan dengan kedua-dua frasa ini. Sunnatullah adalah aturan alam
yang ditentu dan diberikan oleh Allah kepada sesiapa sahaja antara makhluknya
yang berusaha untuk hidup. Adapun Syaritullah adalah hukum syariat yang
ditentukan Allah kepada setiap daripada muslim untuk berusaha menunaikan
kewajipan tersebut. Apabila kedua-dua ini mampu dilakukan dan diseimbangkan
oleh seseorang barulah dia selayaknya menjadi seorang yang benar-benar berjaya
di dunia dan akhirat.
Saya bawakan satu analogi mudah untuk
sama-sama kita memahami konsep Sunnatullah dan Syariatullah ini iaitu kisah
Ahmad dan Ah-Chong. Ahmad merupakan seorang muslim yang bertugas sambilan
sebagai bilal masjid, manakala Ah-Chong adalah seorang yang berfahaman Eteis.
Kedua-dua mereka mempunyai persamaan iaitu sebagai peladang yang menjadikan
jagung sebagai sumber utama tanaman mereka.
Ahmad seawal pagi bangun bertahajjud dan
mempersiapkan dirinya ke masjid menunaikan solat fardu Subuh berjemaah. Sesudah
subuh biasanya Ahmad akan mengaji al-Quran sehingga pukul 10 pagi, barulah
sesudah itu dia akan turun ke ladang jagungnya. Pada Ahmad jagungnya tidak lah
perlu dibuat batas-batas air kerana barangkali sirammannya pada setiap hari itu
sudah mencukupi. Begitu juga dengan baja yang digunakan Ahmad biasa-biasa
sahaja, baginya cukup hanya dengan sekadar berdoa agar dijauhi dari kerosakkan
atau bala. Apabila selesai dia akan pulang ke rumah untuk mempersiapkan diri
sebagai bilal masjid.
Sebaliknya Ah-Chon pula, seawal pagi sekitar
jam 8 pagi sudah turun ke ladang jagungnya. Sebagai seorang yang tidak beragama
Ah-Chong beranggapan dia kena rajin dan cukup berusaha untuk memastikan hasil
tanaman jagungnya itu nanti berkualiti dan baik. Setiap hari diperbaiki
batas-batas air tanamannya, juga diberikan baja yang terbaik, dicantas
daun-daun yang buruk yang disangkanya akan memudaratkan tanamannya. Ah-Chong
pulang ke rumahnya pada waktu petang sesudah selesai menjalankan
tanggungjawabnya.
Kedua-dua mereka menjalankan rutin ini
seharian bermula dari awal penanaman sehinggalah jagung mereka mengeluarkan
hasil. Sesudah sebulan penantian terhadap hasil tanaman mereka, Ahmad tidak
dapat membezakan mana satu jagung dan mana satu lalang yang sama tinggi dengan
tanamannya. Sebaliknya Ah-Chong mendapati jagungnya begitu sihat dah penuh
berisi serta tidak ada lalang yang memanjang.
Pengajaran
atau ‘ibrah yang kita boleh ambil dari kisah ini adalah kehidupan sebagai
manusia di muka bumi ini tidak dapat lari dari aturan alam yang sudah
ditentukan oleh Allah. Sifir yang mudah adalah bagi sesiapa sahaja yang
berusaha samada dia muslim atau tidak muslim, sudah tentu akan memperoleh
kejayaan.
Sesungguhnya Allah bersifat dengan ar-Rahman pada
seluruh muslimin di dunia ini dan bersifat ar-Rahim kepada seluruh manusia tanpa mengira
bangsa budaya dan agama. Oleh sebab itulah, kejayaan bahkan kekayaan itu akan
juga diberikan kepada sesiapa sahaja sekalipon dia tidak menyembah Allah
‘azzawajal, asalkan saja dia terus-menerus berusaha ke arah itu.
Dugaan bukan halangan, sebaliknya bunga-bunga
kehidupan
Setiap detik dan ketika dalam kehidupan
manusia adalah ujian dan cabaran, kadang-kadang cabaran ini lah yang menjadikan
manusia itu makin hari makin matang lantas meneruskan kehidupan. Kunci kejayaan
adalah kesungguhan dan kesungguhan pula sudah tentu menuntut kepada kesabaran
yang tinggi. Berlaku sabar pula bukanlah suatu yang mudah apatah lagi pada saat
dan ketika insan itu jauh dan terleka dengan lautan hawa nafsu yang bergelora.
Manusia
sebenarnya bukan sahaja berperang dengan faktor sekeliling mereka sahaja bahkan
turut berperang dengan musuh utama yang licik di dalam diri sendiri iaitulah
hawa nafsu yang bermaharaja lela di dalam setiap dari tubuh anak adam. Hawa
nafsu yang bersarang di dalam diri menyebabkan tindakan seringkali tersasar
dari matlamat sebenar kehidupan dan asal tujuan sebagai insan.
Salah sama sekali jika ada yang menyatakan
nafsu itu tidak seharusnya wujud dalam diri manusia, bahkan oleh sebab nafsu
itu lah manusia dapat meneruskan kehidupan yang mencabar ini, sebagai contoh
mudah manusia berhajat kepada makanan disebabkan nafsu yang ada pada dirinya
yang mendorong kearah itu. Fitrah manusia ingin berkahwin mendirikan rumah
tangga, mempunyai harta dan segala-galanya berkaitan kehidupan, itu semua wujud
daripada nafsu atau sifat berkehendak yang ada pada diri manusia.
Namun barang diingat nafsu yang tidak dikawal
dengan iman, hati dan akal yang sihat akan menyebabkan manusia mudah sekali
terjerumus kearah maksiat dan kemabukan duniawi. Bagaimana hadith yang
diriwayatkan di dalam sohih Bukhori dan Muslim oleh Nu’man bin Basyir menyebut,
Nabi ﷺ
bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada
seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya
tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh
anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
Hati yang sihat membawa maksud hati yang penuh
keimanan kepada Allah s.w.t, hati yang dekat dengan Allah dan jauh dari segala
bentuk maksiat dan perbuatan yang dilarang.
Analogi yang mudah untuk difahami seperti
sebuah bas persiaran yang sarat dengan penumpang, di hadapannya seorang pemandu
dan seorang pemungut tiket. Kita perhatikan bagaimana keseluruhan penumpang itu
boleh yakin dan rasa selamat dengan pemanduan pemandu itu, boleh jadi adalah
disebabkan pemandu yang baik dan berhati-hati yang mengikut peraturan jalan.
Pemanduan yang baik itu lah yang akan memastikan keseluruhan penumpang tiba di
destinasi dengan selamat. Kita perhatikan pula jika pemandu itu bersikap
sebaliknya tidak mengikuti peraturan jalan dan sebagainya sudah tentu akan
memudaratkan penumpang.
Bagaimana jika kita ibaratkan pemandu itu
seolah-olah hati yang ada dalam diri kita, andai baik hati itu sudah tentu kita
akan dipandu kearah jalan yang baik, lurus dan tidak menyimpang.
Hati inilah
yang akan menundukkan hawa nafsu yang bermaharaja lela di dalam diri sekaligus
menyemarakkan sinar iman dan ketaqwaan. Andai sebaliknya kita barangkali kita
mudah-mudah menempatkan diri kita ke lembah kebinasaan dan kezaliman,
na’uzubillahi min zaalik.
Tangga kedua yang perlu ada pada kita sebagai
manusia adalah kesabaran dan mujahadah yang tinggi dalam mencapai kesucian hati
itu sendiri. Keimanan yang hendak disuburkan di dalam hati itu bukan boleh
dicapai sekelip mata, ianya tidak boleh dipindahkan begitu sahaja dari individu
ke individu yang lain. Bahkan memerlukan kepada sumber kekuatan dan rujukan
yang asli dan bebas dari unsur-unsur kemaksiatan kepada Allah ‘azzawajal.
Bermula dari kekuatan diri itulah yang akan
memberi kekuatan pada setiap individu untuk menghadapi segala ujian dan cabaran
di luar dengan lebih baik. Sudah tentu pada diri manusia yang mampu mengawal
hawa nafsu mereka dengan baik mereka akan mencapai peringkat kemanisan iman dan
ketaqwaan yang tinggi sehinggakan mereka mampu berkata ujian dan cabaran
kehidupan itulah bunga-bunga kehidupan.
Inspirasi Kesabaran dan kekuatan dari seorang
Yusof a.s
Nabi Yusuf a.s seperti mana yang kita ketahui
merupakan salah seorang dari Rasul ulum azmi yang telah dirakamkan di dalam al-Quran.
Baginda merupakan salah seorang putera Nabi Yaakub a.s yang banyak menghadapi
ujian dan cabaran yang berat di sepanjang kehidupan baginda. Bermula daripada
ujian tipu daya saudaranya sendiri sehingga kepada godaan daripada Imraatul
‘Aziz (isteri al-Aziz) dan kemudian baginda dipenjara beberapa tahun tanpa
sebab.
Setelah itu, baginda menerima kemewahan ,
dianugerahkan kesenangan, juga dilantik sebagai menteri yang menguruskan
perihal pertanian, ekonomi dan merancang pengurusan makanan pada musim kemarau
yang hampir sahaja menghancurkan negeri Mesir dan kawasan sekitarnya.
Segala ujian dan cabaran berat yang menimba
nabi Allah Yusuf a.s tidak sekalipun melemahkan dan menggoncang kesabaran
baginda. Maka tidak hairanlah jika Allah kemudiannya mengurniakan pangkat dan
kesenangan di muka bumi sesuai dengan kehendak-Nya lalu diangkat Nabi Yusus a.s
sebagai orang yang bertanggungjawab mentadbir isi bumi iaitulah sebagai balasan
atas kesabaran dan ketaqwaan baginda a.s.
Al-Imam As-Syafie rahimahullah pernah ditanya:
“Manakah yang lebih utama bagi seorang Mukmin jika diberi ujian kesusahan atau
diberi pangkat dan kesenangan?”.
Beliau menjawab: “Tidaklah pemberian pangkat
dan kesenangan itu lebih baik kecuali setelah mengalami ujian yang berat.
Sesungguhnya Allah telah menguji atau memberi ujian dan cubaan yang berat
kepada Nabi Yusuf a.s sebelum memberi kesenangan kepadanya sebagaimana firman
Allah s.w.t;
وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ ۚ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَاءُ ۖ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٥٦﴾
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan
kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di
mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja
yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang
berbuat kebaikan.
Bagaimana kisah kejayaan Nabi Yusuf a.s dari
berkat kesabaran dan ketaqwaan baginda dalam menghadapi saat kesukaran dalam
liku-liku kehidupan itu sehinggakan menjadi kejutan kepada saudara-saudaranya
sendiri, sebagaimana dirakamkan perihal ini di dalam surah Yusuf, Allah
berfirman;
قَالُوا أَإِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ ۖ قَالَ أَنَا يُوسُفُ وَهَـٰذَا أَخِي ۖ قَدْ مَنَّ اللَّـهُ عَلَيْنَا ۖ إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٩٠﴾
Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau
ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin).
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa
yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala
orang-orang yang berbuat kebaikan.
Kunci utama kepada kejayaan Nabi Allah Yusuf
a.s adalah ketaqwaan dan kesabaran yang tinggi dalam diri baginda sehinggakan dianggkat
kedudukan baginda di tempat yang tinggi dan mulia. Dr Yusuf al-Qaradawi
menyebut di dalam bukunya “Al-Sobri fil Quran”, taqwa itu meliputi
segala kebaikkan manakala sabar itu pula makna yang ada pada semua kebajikan. Jika
kedua-dua elemen ini ada pada seseorang, maka dia termasuk di kalangan
orang-orang yang “muhsinin”. Dan Allah sama sekali tidak akan
mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikkan.
Kesabaran nabi Allah Yusuf a.s diuji tatkala
digoda oleh isteri al-Aziz, sedangkan pada ketika itu faktor sekeliling begitu
mendorong. Namun nabi Yusuf dengan menolak dengan tegas dan meletakkan keimanan
baginda di hadapan sebagai benteng. Saat ketika wanita itu berterus terang dan
mempersiapkan segalanya nabi Yusuf a.s berkata;
وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّـهِ ۖ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿٢٣﴾
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya,
bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun
menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia
untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari
perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan
sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".
Seterusnya ujian kedua yang dihadapi oleh nabi
Yusuf tatkala berhadapan dengan ancaman imraatul ‘aziz di hadapan wanita-wanita
lain di istana. Wanita itu dengan geram berkata;
قَالَتْ فَذَٰلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ ۖ وَلَقَدْ رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ ۖ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ الصَّاغِرِينَ ﴿٣٢﴾
(Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang
kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan
dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi
sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan
dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."
Sesungguhnya nabi Allah Yusuf a.s telah
memilih jalan ketaqwaan dan keimanan dengan menolak perkara mungkar itu walaupun
baginda menyedari akan menghadapi ujian dunia dan ancaman kezaliman pihak
tertentu. Baginda dengan penuh yakin memilih untuk mengorbankan dirinya dengan
penjara di dunia daripada terpaksa menggadaikan aqidah dan keimanan dengan
tunduk pada godaan nafsu dunia. Bagaimana al-Quran merakamkan keyakinan dan
keimanan nabi Yusuf a.s;
قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ ﴿٣٣﴾
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan)
berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang
perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan
daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku
menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".
Kesabaran nabi Allah Yusuf a.s dikatakan lebih
tinggi berbanding kesabaran nabi Ayub a.s kerana ujian yang datang kepada
baginda Ayub a.s berbentuk “ithdirari” (terpaksa) sedangkan ujian yang datang
kepada nabi Yusuf a.s adalah berbentuk “ikhtiyari” (pilihan).
Diringkaskan sehinggalah beberapa tahun
baginda dipenjarakan, berkat kesabaran dan kemuliaan yang ada pada diri,
baginda lantaran dilantik menjadi bendahara Negara Mesir pada ketika itu
setelah dibebaskan. Dimuliakan kedudukan baginda sesudah daripada itu, dan
diberi kehormatan pada setiap mata yang memandang baginda sehinggakan gugur
segala tuduhan dan tohmahan rekaan manusia sebelum daripada itu.
Ibrah yang dapat kita ambil dari kisah nabi
Yusuf a.s ini adalah bagaimana baginda sejak kecil diuji dengan ujian kehidupan
yang berat sehinggakan baginda terpaksa berjauhan dengan keluarga dan ayahanda
baginda nabi Ayub a.s. Namun baginda terus yakin dan sabar dengan ujian Allah
tanpa banyak mengeluh, kerana keimanan dan ketaqwaan itu mengatasi
segala-galanya.
Hari ini boleh jadi kita belum lagi diuji
dengan ujian yang berat, persoalan yang lebih utama adakah kita mampu
menghadapi ujian tersebut?. Apakah kita sudah mempersiapkan diri kita dengan
kekuatan yang lengkap untuk menghadapi situasi itu?. Persoalan ini harus
bermain di fikiran kita selagi mana kita masih bergelar manusia dan khalifah di
muka bumi ini.
Ukuran kejayaan itu bukan hanya semata-mata kita
merancang dan berusaha, tetapi sejauh mana kita meraih keredhaan dan keberkatan
dari Allah atas semua usaha dan kerja buat kita. Moga kita semua dijauhkan dari
sifat takbur riak dan sombong dalam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Cukuplah
al-Quran menjadi pedoman pada setiap dari kita dan Rasulullah ﷺ menjadi khudwah dan ikutan kita sepanjang
zaman.
Mohd Naseer Kasim,
Irbid, Jordan.
9.50 p.m